Saturday, November 07, 2009

Menggapai Puncak Murud - Kosmo & November 2009

Menggapai puncak Murud

Keseluruhan perjalanan hari terakhir memakan masa 10 jam 15 minit dengan menempuh bukit-bukau, berperang dengan pacat dan menempuh trek balak yang membosankan.




DUA tahun berhenti mendaki gara-gara memberi tumpuan pada aktiviti pacuan empat roda (4WD), mungkin memberi sedikit kesan kepada prestasi saya dalam ekspedisi mendaki Gunung Murud di Sarawak baru-baru ini.

Membayangkan tidak mahu menjejaskan kelancaran ekspedisi, buat pertama kalinya dalam sejarah pendakian saya yang bermula pada tahun 1996, saya mengupah seorang pengangkut barang (porter) untuk memikul beg galas saya yang membawa isian kira-kira 15 hingga 20 kilogram. Alhamdulillah, percaturan itu membuahkan hasil apabila saya dapat mendaki dalam keadaan yang lebih selesa. Berikut catatan Eksplorasi Murud-Bario 2009 yang disertai 11 pendaki dan diketuai oleh Zainudin Lot (Deeno) pada 25 Oktober sehingga 31 Oktober lalu.


MENAIKI Twin Otter dari Miri ke Ba'Kelalan.


Hari pertama: Kami tiba di Miri dengan menaiki pesawat tambang murah AirAsia. Menginap semalaman di Apple Lodge memberi peluang kepada kami untuk berkenalan. Ini kerana kebanyakan daripada kami tidak mengenali antara satu sama lain.

Hari kedua: Selepas mendaftar keluar, kami bergegas menaiki teksi menuju ke lapangan terbang Miri untuk menaiki pesawat Twin Otter (Mas Wing) ke Ba'Kelalan. Pesawat yang hanya memuatkan 18 penumpang itu singgah di Lawas untuk mengambil penumpang termasuk 'penumpang' istimewa iaitu beberapa kotak ayam hidup. Di Ba'Kelalan, kami singgah di Apple Lodge milik Pak Tagal yang terkenal sebagai penanam epal. Setelah segala urusan selesai, kami menaiki dua buah 4WD menuju ke Lepo Bunga. Perjalanan meredah laluan off-road yang berbukit bukau mengambil masa 1 jam 55 minit. Tepat pukul 3.15 petang, kami memulakan pendakian ke Kem Gereja dengan meredah trek hutan selama hampir empat jam. Pendakian tidaklah sukar kerana cerun bukit tidak begitu tinggi. Kami berjalan tanpa henti sehingga tiba di pelantar papan (plank). Menurut penunjuk arah (guide), Baru Labo, 50, (Pak Baru), plank itu dibina untuk memudahkan penduduk Kristian Lun Bawang berjalan menuju ke Kem Gereja untuk melakukan upacara keagamaan setahun sekali iaitu pada bulan Julai. Namun begitu, sebahagian besar plank sudah reput, membuatkan kami begitu berhati-hati mengatur langkah. Menempuh plank memakan masa kira-kira dua jam dan sebaik tiba di hujungnya, waktu menunjukkan tepat pukul 6.10 petang. Dalam kegelapan malam dan bertemankan lampu suluh, kami meredah semula trek hutan dan 35 minit kemudian, kami tiba di Kem Gereja. Kegelapan malam mengehadkan jarak penglihatan. Hanya keesokan pagi, barulah kami dapat melihat kawasan sekitar yang dipenuhi dengan rumah-rumah kosong. Saya difahamkan, setiap penduduk Ba'Kelalan memiliki rumah di situ.


MENINGGALKAN Long Repung pada 28 Oktober 2009 pukul 8.50 pagi .


Hari ketiga: Matlamat kami hari ini adalah menggapai puncak Murud di ketinggian 2,423 meter (7,946 kaki) dari aras laut. Selepas menikmati sarapan roti canai, kami memulakan langkah pada pukul 7.55 pagi. Awal pendakian memaksa kami meredah trek berair yang membasahkan kasut dan stokin. Kesemua itu kami tidak peduli dan perjalanan naik dan turun bukit yang tidak begitu tinggi agak santai. Dalam perjalanan itu, tapak kasut Suzana Jamil (Seri), 37, hampir tertanggal. Nasib baik Ayieen Carlos Ng Ismail, 40, membawa peralatan menjahit kasut. Hampir 20 minit dihabiskan untuk 'menyelamatkan' kasut Seri. Sementara menunggu, kami berehat di sebatang sungai yang jernih dan dingin airnya sambil mengunyah 'jajan' yang dibawa. Pendakian diteruskan sehingga tiba di Kebun Batu. Kami berehat agak lama di situ sehinggakan Pak Baru terpaksa 'menipu' kami untuk menyuruh kami menamatkan waktu rehat yang panjang. "Jauh lagi puncak...ada dua jam lagi berjalan," kata Pak Baru. Hampir patah semangat saya mendengar kata-kata itu. Anehnya, setelah berjalan selama kira-kira setengah jam, kami terdengar suara riuh rendah di hadapan yang melaungkan perkataan puncak. "Pak Baru...sudah sampai ke," jerit saya. "Ya...sudah sampai. Itu puncaknya," jawab Pak Baru sambil menuding jari ke arah satu poin yang paling tinggi di situ. "Hahh...tadi kata dua jam baru sampai," soal saya kehairanan. Namun, soalan saya tidak berjawab. Saya tiba di puncak pada pukul 12.08 tengah hari dan tanpa berlengah, sesi bergambar pun bermula. Dalam ekspedisi ini, Seri berjaya menamatkan G12 iaitu menakluk sebanyak 12 puncak gunung tertinggi di Malaysia. Dr. Mafeitzeral Mamat (Dr. M), 33, dan Appaduria a/l Kuppusamy, (Uncle Appa), 62, pula berjaya menamatkan G5 iaitu lima puncak tertinggi di Borneo. Untuk sesi bergambar, kami meminta Pak Baru merakamkan gambar kami. Aksi bersahaja Pak Baru memetik kamera membuatkan kami ketawa besar. "One...two...try...," kata Pak Baru selamba sambil menghalakan lensa kamera ke arah kami. Ayat lain yang tidak akan kami lupa adalah



'Satu...dua...ketawa sikit'. Hampir sejam berada di puncak, kami kemudiannya memulakan pendakian turun dan tiba semula di Kem Gereja pada pukul 4.10 petang. Hari yang masih awal membolehkan kami berehat lebih lama.

Hari keempat: Perjalanan ke Long Repung bermula pada pukul 8.50 pagi. "Dah lewat ni...cepat siap," kata Deeno yang risau melihat kami masih berlengah untuk memulakan perjalanan. 'Kesibukan' mencari senduk kayu yang hilang membuatkan kami leka. Namun, melihat jarum jam menghampiri angka sembilan, kami bergegas mengatur langkah menuju ke Batu Linanit. Kami boleh terus ke Long Repung tanpa perlu singgah di situ. Memikirkan rugi jika tidak ke bukit itu, kami teruskan juga perjalanan ke sana. Selesai bergambar, kami meneruskan perjalanan ke Long Repung. Kami menempuh semula plank sehingga pertengahan jalan, sebelum membelok ke kanan memasuki trek hutan. Dari situ, perjalanan semakin mencabar dengan keadaan muka bumi yang pelbagai termasuk menuruni jurang yang tegak hampir 85 darjah. Kami berhenti makan tengah hari di tapak perkhemahan Pa' Balaban yang terletak di tepi Sungai Balaban. Seboleh-bolehnya, kami tidak mahu berjalan malam dan kami berjaya melakukannya apabila tiba di Long Repung pada pukul 5.10 petang.


PENULIS (kiri depan) bergambar bersama rakan-rakan pendaki di puncak gunung tertinggi di Sarawak, Gunung Murud.


Hari kelima: Perjalanan bermula pada pukul 9 pagi dan paling jauh dalam ekspedisi ini. Kami perlu menempuh bukit bukau yang tinggi dan panjang, berperang dengan pacat dan lintah, menempuh trek balak yang membosankan dan laluan kereta kerbau yang licin dan berselut. Sebagai persediaan, awal-awal lagi saya sudah menyapu kasut dan stokin dengan air tembakau. Ternyata usaha saya berjaya mengelak gigitan pacat yang banyak. Hujan yang sejak pagi tidak reda menambah kesukaran perjalanan. Selesai mendaki sebuah bukit yang tinggi dan panjang, kami terpaksa pula menempuh beberapa bukit lagi. "Pak Baru...ada berapa bukit lagi?" saya mula menyoal petunjuk arah kami yang berwajah selamba. "Ada lagi...dua atau tiga," jawabnya bersahaja. "Nanti bukit akhir, di bawahnya paya...hati-hati, jangan sampai terjatuh," kata Pak Baru lagi. Akhirnya, kami tiba di kawasan paya yang di dalamnya ada lintah. "Pijak kayu ini...jangan tersalah pijak...nanti terjatuh,'' nasihat Pak Baru. Melepasi halangan paya memberi kelegaan kepada kami yang selamat tiba di Pa' Lungan pada pukul 1.15 petang. Kami berehat agak lama di situ. Melihat panorama indah perkampungan yang dikelilingi bukit bukau dan sawah menghijau membuatkan kami berasa begitu kagum dengan alam ciptaan Tuhan. Di sini, Deeno bertemu semula dengan kenalannya, Walter Paran yang juga seorang guide. Sekitar pukul 2.45 petang, kami memulakan langkah terakhir ke Bario. Di pertengahan jalan, hujan lebat mencurah sekali gus memberikan cabaran getir kepada kami yang semakin kesejukan. Perjalanan jauh hampir mematahkan semangat. Sebaik tiba di Pa' Ukat, hati berasa sedikit lega. Ini kerana dari situ, kami hanya perlu berjalan sekitar satu jam lagi untuk sampai ke Bario. Saya bersama Ayieen, Ju dan Zian tiba di Mustafa Lodge pada pukul 7.05 malam. Ini bermakna kami telah berjalan selama 10 jam 15 minit dari Long Repung ke Bario!


PAK BARU (kiri) bersama empat orang pengangkut barang berehat di padang yang menghijau di Pa'Lungan.


Hari keenam: Aktiviti bebas di Bario dipenuhi dengan lawatan ke rumah panjang dan ronda-ronda di keliling kampung. Sebelum itu, kami menikmati sarapan cucur bilis yang dibuat daripada dua kilogram tepung gandum. "Ini siapa punya kerja...bancuh tepung sampai dua kilo," tanya saya kepada Seri. "Deeno yang bancuh...katanya malas nak bawa balik," jawab Seri. Mahu tak mahu, terpaksalah kami menggoreng cucur yang banyak.

Hari ketujuh: Sepatutnya, saya, Kak Kay dan Uncle Burn 'terbang' dahulu meninggalkan Bario menuju ke Miri pada pukul 9 pagi. Namun cuaca buruk memaksa penerbangan Twin Otter ditangguhkan sehingga pukul 2.45 petang. Lapan rakan saya yang lain pula dapat balik lebih awal apabila penjadualan semula dilakukan. Sungguhpun begitu, kami bersatu semula di lapangan terbang Miri untuk upacara penutup yang ringkas. Kami juga sempat membeli-belah di Miri sebelum berlepas pulang dengan pesawat AK 5187 ke LCCT pada pukul 8.45 malam. Ya...kami mungkin berpisah di sini, namun segala kenangan sepanjang ekspedisi tujuh hari akan dikenang buat selamanya. Insyaallah, saya berazam untuk menamatkan G12 di puncak Gunung Mulu, Sarawak pada tahun hadapan.

No comments: